SUTRA....

WORLDWIDE OEM, STOKIST & WHOLESALER WANTED !


SUTRA membawa maksud penyatuan antara tubuh dan jiwa dengan menggunakan aromaterapi. Kami menciptakan ketenangan dengan produk yang seimbang untuk keperluan anda, sesuai untuk gaya hidup yang sihat dan moden. Produk-produk kami dirumuskan khas menggunakan hanya 100% minyak yang tulen, memberikan aromaterapi yang bermanfaat untuk minda, tubuh dan semangat anda.
Memaparkan catatan dengan label inkubator minyak pati. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label inkubator minyak pati. Papar semua catatan

Jumaat, 19 Jun 2009

RM420 untuk setiap 12 gram minyak pati gaharu

Mazalan Mohamed dari Gua Musang menjual minyak gaharu pada harga RM420 untuk 12 gram di pasaran Dubai dan Bahrain.





TATKALA menaip perkataan 'gaharu' di laman web, bersusun alamat laman web dari Indonesia pada skrin komputer. Masing-masing mempromosikan minyak gaharu atau lebih dikenali sebagai agarwood oil di peringkat dunia.

Minyak yang menghasilkan aroma yang mewangi ini mendapat permintaan yang amat tinggi di Timur Tengah, terutamanya Arab Saudi dan Dubai, berikutan adat masyarakat di sana yang gemarkan wangi-wangian. Ia sama ada dicampur dengan minyak lain untuk menghasilkan minyak wangi atau minyak atar, atau dijual tulen.

Malaysia sebaliknya lebih cenderung untuk mengeksport hasil kayu ini dalam bentuk kepingan kayu karas atau damar gaharu berbanding minyak yang diekstrak.

Malah sehingga tahun 1997, Lembaga Perkayuan Malaysia (MTC) melaporkan bahawa negara ini pernah mengeksport gaharu dalam bentuk kepingan bernilai lebih RM50 juta dalam tempoh lima tahun.

"Saya sudah terlibat dalam perniagaan karas-gaharu ini sejak 18 tahun lalu. Tujuh tahun pertama saya mulakan dengan menjual kepingan kayu karas dan damarnya sahaja, sama ada ke pasaran Thailand ataupun tempatan.

"Tetapi setelah melihat cara kayu-kayu ini diproses serta pulangan yang cukup lumayan daripada penjualan minyaknya, saya memutuskan untuk pergi lebih jauh," ujar Mazalan Mohamed, 40, yang ditemui di kilang memproses minyak gaharunya yang terletak di Kampung Star Baru, Gua Musang, Kelantan.


Mesin pengisar yang didatangkan dari Thailand


Mazalan turut beroperasi tanpa orang tengah, selain mengubah pendekatan perniagaan dengan menjual minyak gaharu berbanding sekadar kepingan kayu karas.

Jika sebelum ini Mazalan hanya memenuhi permintaan Thailand dan tempatan, kini minyak gaharu keluaran PMW Enterprise sudah berada dalam pasaran Dubai, Arab Saudi dan Bahrain.

Menjenguk kilang-kilang pemprosesannya, bahang yang berkuap di dalam dirian sederhana itu tidak sedikit pun melunturkan semangat krewEKSTRA untuk meninjau lanjut.

Kedatangan yang disambut dengan pemandangan dua wanita berusia yang sedang mencincang kepingan kayu karas yang memenuhi ruang lantai menambah lagi keinginan untuk meneroka.

Biarpun bertubuh kurus dan sudah berusia, kedua-dua wanita ini pantas saja melakukan kerja. Sekali-sekala melemparkan senyuman ke arah kami, tangan mereka terus menghentak parang dalam genggaman.

Potongan kayu karas itu kemudiannya dimasukkan ke dalam sebuah mesin pengisar yang berdiri tegap di satu sudut. Kongsi Mazalan, mesin itu berharga tidak kurang daripada RM12,500 sebuah.

"Hasil kisaran kemudiannya diperam di dalam air selama dua minggu. Selepas itu ia akan dikeringkan. Untuk karas gred rendah, kami asingkan untuk dijual bagi membuat colok.

"Hasil daripada karas gred bermutu lebih tinggi akan dimasak di dalam dapur antara lima hingga 10 hari, bergantung kepada gred, untuk mengekstrak minyaknya," jelas anak kelahiran Kampung Chasi, Tok Uban, Pasir Mas, Kelantan ini.

Bahagian pemprosesan yang menggunakan teknologi yang 'diimport' dari Thailand ini memperlihatkan 60 dapur berbaris panjang dengan setiap satunya dilengkapi tong gas sendiri. Kata Mazalan, kos keseluruhan pembinaan dapur ini ialah RM50,000.

"Satu pusingan memasak serbuk kayu karas untuk gred C rendah, yang mengambil masa lima hari, menghabiskan sehingga dua tong gas 16.5 kilogram.

"Tetapi untuk gred C tinggi dan ke atas yang dimasak sehingga 10 hari, empat tong gas yang sama diperlukan," tambah bapa kepada empat orang anak ini.


KOS pembuatan dan pemasangan dapur ini mencecah RM50,000.


Selepas lima hari, minyak gaharu akan terkumpul di dalam tabung suling dan terapung di lapisan atas permukaan air. Ekstrak ini akan 'dikutip' pada setiap lima hari mengikut jadual yang ditetapkan.

Mendirikan tiga buah kilang, dengan sebuah di Bukit Beruntung, Selangor, Mazalan berkata pemprosesan dijalankan 24 jam sehari. Ini kerana jika api dapur dimatikan, proses pemanasan akan menggunakan lebih banyak gas dan memakan masa.

Untuk tujuan eksport, Mazalan menyimpan minyak gaharu yang telah dikumpul ke dalam botol aluminium bermuatan 1.2 liter. Dalam sebulan, dapur itu dapat menghasilkan enam botol aluminium minyak gaharu.

"Minyak ini dijual pada harga RM420 setiap 12 gram, iaitu menyamai satu botol tolal.

"Kami dapat menjual pada harga ini kerana kami dapat menyediakan minyak gaharu yang pekat sebagaimana diminta pembeli," katanya yang menjelaskan, semakin pekat minyak gaharu, semakin tinggi nilainya.


Sutra Essential @ sutraessential.blogspot.com

Khamis, 21 Mei 2009

Minyak Pati Serai Wangi - Citronella




Tanaman serai wangi dipercayai berasal sama ada dari Selatan India atau Sri Lanka. Serai wangi juga tumbuh liar di kebanyakan negara di Asia Tropika, Amerika dan Afrika. Di Malaysia, serai wangi biasanya ditanam di halaman rumah sebagai tanaman dapur dan kebelakangan ini terdapat beberapa pengusaha yang berminat untuk menanamnya bagi menghasilkan minyak pati. Serai wangi ialah sejenis tanaman rumput yang tinggi dan mempunyai rimbunan daun yang lebat. Ia boleh tumbuh sehingga 1.0–1.5 m. Daunnya bersifat tirus, panjang sehingga 70 – 80 cm dan 2 – 5 cm lebar. Ia berwarna hijau muda, kasar dengan urat yang selari dan mempunyai aroma yang lebih kuat jika dibandingkan dengan serai makan. Serai wangi jarang berbunga dan hanya berbunga bila sudah cukup matang iaitu pada peringkat umur melebihi 8 bulan.


Botani Tanaman:

Pokok:  Serai wangi ialah rumput saka yang tinggi dan berbau wangi.  Ia mengeluarkan rumpun daun yang lebat daripada rizom yang padat dan boleh membesar sehingga 1-1.5 m tinggi. 
  
Daun:  Daun sesil yang berwarna hijau dan licin.  Purata saiz ialah 60 cm panjang x 2.5 cm lebar. 
Hujung daun adalah runcing. 
  
Batang: Tiada batang tulen.  Sarung daun berperanan sebagai batang palsu. 
  
Akar/rizom:  Rizom padat dan merayap.  Berwarna kekuningan. 
  
BAHAGIAN YANG DIGUNAKAN:  Daun

Penuaian Hasil:

Kematangan tanaman:  2.5 - 3 bulan 
  
Cara mengutip hasil:  Bahagian hasil dikerat 5 cm atas pada batang palsu.  Daun dijemur layu 
sehingga kandungan air dikurangkan sebanyak 30-50 % sebelum diproses untuk mengeluarkan pati minyak. 
Kutipan hasil berikutnya dilakukan selepas jangkamasa 1.5 bulan. 
 

Kegunaan dalam perubatan:

1. Sakit perut:  Minyak pati disapukan untuk melegakan kesakitan

2. Menghalau serangga:  Daun kering digunakan sebagai penghalau serangga
 
3. Cucian selepas bersalin:  Gunakan gandingan air rebusan serai wangi, gandarusa dan daun sirih.


 Kegunaan bahan kimia

1. Caryophyllene

2. Citronellol

Sutra Essential @ sutraessential.blogspot.com

Selasa, 19 Mei 2009

INKUBATOR TEKNOLOGI PEMPROSESAN MINYAK PATI MARDI


Minyak pati ialah sejenis minyak meruap dan beraroma yang didapati daripada tumbuh-tumbuhan secara sulingan. Bahagian tumbuh-tumbuhan di mana minyak pati boleh diperolehi termasuklah bunga, buah (kulit), daun, biji, akar atau keseluruhan tumbuhan. Minyak pati biasanya digunakan di dalam industri wangian dan kosmetik terutama bagi penghasilan minyak wangi, penyegar udara, bahan cucian dan mandian, aromaterapi, minyak urut, balm dan sebagainya. Minyak pati juga berguna di dalam industri makanan sebagai bahan perisa dan bauan seperti minyak pudina di dalam gula-gula, minyak cengkih dan kayu manis di dalam minuman ringan. Selain itu, minyak pati digunakan dalam pengeluaran bahan kawalan serangga, antiseptik, anti kulat (fungal) dan pelbagai aplikasi dalam industri perubatan.

Industri herba Malaysia mempunyai potensi yang tinggi untuk berkembang dan produk berasaskan herba tempatan (tropika) mempunyai ruang pasaran luas (domestik dan ekspot). Dianggarkan saiz pasaran minyak pati dunia ialah sebanyak USD 7.5 billion. Pada masa ini negara kita banyak bergantung kepada pengimportan minyak pati untuk kegunaan tempatan. Nilai import minyak pati ke dalam Malaysia adalah sebanyak RM 200 juta setahun dan nilai permintaan tempatan untuk produk yang berasaskan minyak pati (kosmetik dan produk penjagaan diri) dianggarkan sebanyak RM500 juta setahun. Justeru itu, industri herba Malaysia berpotensi untuk berkembang dengan lebih pesat lagi jika pengeluaran minyak pati berskala komersil dapat dibangunkan. Secara keseluruhannya kegiatan ini merangkumi aktiviti pengeluaran tanaman, pengurusan lepas tuai, pengekstraktan minyak pati, pembangunan produk berasaskan minyak pati serta perawatan bahan buangan kepada silaj dan kompos.

Industri herba tempatan telah berkembang dengan pesatnya sejak kebelakangan ini tetapi tidak seimbang. Untuk membangunkan industri herba tempatan, pembangunan menyeluruh industri tersebut perlu dilaksanakan termasuk pembangunan pasaran dan penjenamaan.

Di dalam program inkubator teknologi minyak pati MARDI, beberapa teknologi telah dibangunkan. Program ini merangkumi teknologi pengeluaran tanaman, pengeringan, penyulingan, penghasilan produk-produk berasaskan minyak pati, silaj dan kompos. Tanaman-tanaman yang telah dibangunkan terdiri daripada tiga jenis herba iaitu nilam, serai makan dan serai wangi. Teknologi penanaman telah dapat menghasilkan masing-masing sebanyak 30 tan, 40 tan dan 55 tan sehektar/tahun bagi tanaman nilam, serai makan dan serai wangi. Proses pengeringan pula telah dapat dilakukan melalui pembangunan teknologi pengeringan rumah solar yang berkapasiti pengeluaran sebanyak 750 kg/sehari.

Teknologi pengekstraktan minyak pati melibatkan dua proses iaitu proses penyulingan (distillation) dan penyulingan berperingkat (fractionation). Proses penyulingan menggunakan wap tekanan tinggi yang dibangunkan berupaya menghasilkan 16,000 ml minyak pati sehari. Proses penyulingan berperingkat pula dapat menghasilkan minyak pati tulen berbilang gred.

Rangkaian operasi dalam inkubator teknologi produk berasaskan minyak pati meliputi sistem pemprosesan sabun, sistem pemprosesan produk toiletri bentuk cecair dan krim kosmetik, sistem pengisian produk cecair secara automatik dan sistem pembungkusan. Teknologi pemprosesan produk melibatkan pembangunan kilang yang menepati keperluan Good Manufacturing Practice (GMP) dengan spesifikasi susun atur mesin dan tatacara penyusunan bilik bersesuaian. Teknologi pembangunan produk (formulasi) berasaskan minyak pati ini berupaya mengeluarkan sebanyak 15,700 ml bahan aromaterapi dan 3,000 ketul sabun penjagaan diri dan ’toileteries’ sehari.

Untuk melengkapkan program inkubator teknologi minyak pati, kesemua bahan buangan dari proses ini turut dirawat menjadi silaj dan kompos untuk menambahnilaikan lagi pakej teknologi ini juga menjadikannya lebih berdaya maju dan mesra alam. Teknologi penghasilan silaj melibatkan pemeraman (fermentation) bahan buangan daripada sistem penyulingan di dalam tong kedap udara yang dicampurkan bakteria IMO (Indigenous Microbial Organism). Silaj boleh digunakan sebagai sumber serat (fiber) untuk makanan ternakan ruminan seperti lembu dan kambing. Teknologi kompos pula melibatkan pemeraman terbuka (open fermentation) bahan buangan dari penyulingan dan dicampur dengan bahan-bahan lain seperti IMO, urea dan molases. Bahan kompos yang dihasilkan amat sesuai digunakan sebagai baja organik untuk pelbagai tanaman.

Untuk mempercepatkan proses pengkomersilan teknologi ini MARDI telah membangunkan pusat inkubator teknologi minyak pati dan kilang perintis pemprosesan produk berasaskan minyak pati di Stesen MARDI Kuala Linggi, Melaka. Pusat inkubator teknologi ini telah dibangunkan sejak 2006 dan dijangka dapat melatih inkubati pertama pada penghujung tahun 2007. Jangkamasa pembangunan usahawan sebagai inkubati dalam sistem inkubator ini ialah selama 14 – 24 bulan bagi program inkubator teknologi penyulingan dan 6-12 bulan bagi penghasilan produk berasaskan minyak pati. Melalui kaedah ini sekurang-kurangnya dua syarikat inkubati dapat dibangunkan dalam setiap pusingan.

Program inkubator teknologi minyak pati ini telah dibangunkan berasaskan kepada teknologi pakej yang telah dihasilkan juga unjuran analisis kewangan. Kilang yang dibangunkan diunjur memerlukan bekalan bahan mentah (nilam, serai wangi dan serai makan) yang perlu dihasilkan dari ladang yang sekurang-kurangnya seluas 45 hektar.

Analisis kewangan pengeluaran minyak pati dan produk berasaskan minyak pati menunjukkan pelaburan ini secara teknikalnya berkebolehan (feasible) dan berdaya maju (viable) dari segi ekonomi. Berasaskan kepada saiz operasi kilang yang menghasilkan sebanyak 16,000 ml minyak pati sehari pelaburan ini dijangka dapat memberi kadar pulangan dalaman (Internal Rate of Return) sebanyak 28%, nilai kini bersih (Net Present Value) sebanyak RM4.9 juta, nisbah keuntungan kepada perbelanjaan (Benefit Cost Ratio) sebanyak 1.3 dan tempoh bayar balik modal (Payback Period) selama 4 tahun.

Untuk perancangan masa hadapan, inkubator teknologi minyak pati MARDI di Kuala Linggi akan membangunkan minyak-minyak pati berasaskan herba-herba lain seperti limau purut, sireh, kulit kayu manis, tee-tree, bunga cengkih dan bunga-bunga haruman. Pembangunan produk minyak pati akan dipertingkatkan kepada produk-produk spa khusus dan terpilih yang mempunyai potensi pasaran tempatan dan ekspot. Pembungkusan (packaging) dan penjenamaan (branding) yang sesuai akan juga dibangunkan di masa hadapan bagi meningkatkan penguasaan pasaran tempatan dan antarabangsa. Di masa hadapan, dijangkakan lebih ramai lagi usahawan dapat dibangunkan melalui sistem inkubator luar-capaian (out-reached incubator) yang boleh diwujudkan apabila teknologi ini dikembangkan ke kawasan-kawasan pertumbuhan yang lain.

Inkubator teknologi minyak pati ini merupakan pakej teknologi lengkap yang mengintegrasikan aktiviti-aktiviti huluan (up-stream), hiliran (down-stream) dan pemasaran (market). Program inkubator teknologi ini adalah berasaskan kepada teknologi-teknologi asli yang dibangunkan oleh MARDI. Pakej teknologi ini dijangka dapat membantu meningkatkan lagi pembangunan industri herba tempatan ke tahap berdaya maju dan berdaya saing.

Teknologi minyak pati ini telah dapat dipakejkan sebagai satu entiti pelaburan yang dapat memberi pulangan yang lumayan dan disyorkan kepada pengusaha-pengusaha enterprise kecil dan sederhana (EKS). Teknologi minyak pati ini dapat memperkasakan konsep aktiviti perniagaantani dari ladang ke kilang (farm to factory).


Sutra Essential @ sutraessential.blogspot.com