Tanaman halia bukan saja digunakan dalam masakan tetapi tumbuhan herba ini juga terkenal sebagai makanan kesihatan malah penyeri landskap.
Penanaman halia mempunyai sejarah yang panjang dan dikatakan bermula di China sebelum tersebar ke Asia Tenggara, Afrika Barat dan kepulauan Caribbean.
Halia mengandungi sehingga tiga peratus minyak pati yang memberikannya aroma. Rizom (akar) halia muda biasanya berjus dan mempunyai rasa pedas yang lembut.
Halia jeruk boleh dimakan sebagai snek dan air halia yang ditambah dalam teh bersama-sama madu akan menambahkan keenakannya.
Dari segi saintifiknya, semua jenis halia berada dalam Order Zingiberales dan Famili Zingiberaceae.
Pensyarah Kanan, Institut Sains Biologi Universiti Malaya (UM), Prof. Halijah Ibrahim berkata, famili ini dapat dibezakan kerana seluruh atau bahagian tertentu tumbuhan herba ini adalah aromatik.
Menurutnya, halia tergolong dalam tumbuhan herba yang mempunyai rizom misalnya kunyit, halia dan lengkuas yang biasa digunakan dalam makanan.
"Keluarga Zingiberaceae mempunyai saiz yang pelbagai dan boleh dibezakan dengan taburan padat di kawasan Asia Tenggara," katanya yang telah lebih 20 tahun menjalankan kajian mengenai halia.
Pada masa ini, terdapat 350 spesies halia yang dikenal pasti di seluruh negara, manakala Thailand mempunyai lebih 300 spesies.
Biasanya halis jenis Zingiberaceae terdapat di kawasan tropika dan subtropika dan juga terdapat lebih 52 genera dengan 1,300 hingga 1,500 spesies.
"Di Malaysia saja terdapat 21 hingga 22 genera dengan lebih 350 spesies," hurai Halijah.
Beliau berkata, disebabkan halia banyak digunakan dalam pelbagai budaya di seluruh dunia, halia mempunyai kepentingan dalam ekonomi.
Terdapat halia yang boleh dimakan dan biasanya ditambah dalam masakan seperti rempah atau sebagai ulaman.
"Kunyit atau Cucurma domestica, Zingir officianale (halia), Elettaria cardamimum (buah pelaga), Alpinia galanga (lengkuas), E elation (kantan), kaempteria galanga (cekur) biasa digunakan dalam masakan," katanya.
Selain dalam masakan dan minuman, keluarga halia juga banyak digunakan dalam perubatan tradisional yang menggunakan campuran herba.
Sehingga kini terdapat 30 hingga 40 spesies halia yang direkodkan digunakan dalam perubatan tradisional.
"Tentu saja masyarakat kenal dengan Zingiber zerumbet (lempoyang), Z. ottensini (lempoyang hitam), Z. officinale var rubrum (halia bara), Ccurcuma aeruginosa (kunyit hitam/temu hitam), C. zanthorrhiza (temu lawak), C. mangga (temu pauh/mangga), C. zedoria (temu putih/kunyit putih).
"Semua bahan ini banyak digunakan sebagai campuran dalam perubatan tradisional," katanya.
Halia yang mempunyai bentuk bunga yang cantik dan beraroma juga boleh dijadikan tanaman hiasan dan landskap.
Beberapa tanaman halia seperti Alpinia purpurata (halia merah), Z. spectabile (cut flower), Alpinia zurember (shell ginger), A. mutica, A. malaccensis, A. latiladis (landskap), Kaemferia spp. sesuai dijadikan tanaman hiasan kerana mudah dikendalikan.
Tanaman halia yang mempunyai aroma merupakan sumber minyak pati bagi minyak wangi, perisa dan aroma terapi.
Katanya, kajian perlu dijalankan dengan mendalam memandangkan halia boleh dijadikan sumber kanji manakala dalam dunia perubatan, keluarga halia didapati mempunyai aktiviti biologi yang baik sebagai anti kanser, anti mikrobial, anti oksidan dan anti radangan.
"Di negara jiran Indonesia, keluarga halia seperti temu, kunyit dan halia banyak digunakan dalam jamu, kosmetik dan teh.
"Di sini semakin banyak produk dihasilkan daripada halia seperti teh, kosmetik, aroma terapi, krim wajah, krim pemutih dan krim anti penuaan," katanya.
Beliau yang menyertai Ekspedisi Lanjak Entimau di Sarawak, baru-baru ini untuk meneroka khazanah alam semula jadi berharap akan dapat menemui lebih banyak spesies bagi menambah lagi bilangan, mengemaskini data kepelbagaian halia.
"Pelbagai aspek kajian mengenai spesies yang baru ditemui dan terdapat kajian yang akan menjadi asas kepada etnobotanikal terutama dalam kepentingan perubatan.
"Ini akan menjurus kepada menemui dan memulihara spesies endemik yang masih tidak diketahui kegunaannya," katanya.
Katanya lagi, pihaknya akan mengkaji spesies halia yang berpotensi bagi tumbuhan ornamental untuk dibiakbaka secara tisu kultur untuk dikomersialkan.