SUTRA....

WORLDWIDE OEM, STOKIST & WHOLESALER WANTED !


SUTRA membawa maksud penyatuan antara tubuh dan jiwa dengan menggunakan aromaterapi. Kami menciptakan ketenangan dengan produk yang seimbang untuk keperluan anda, sesuai untuk gaya hidup yang sihat dan moden. Produk-produk kami dirumuskan khas menggunakan hanya 100% minyak yang tulen, memberikan aromaterapi yang bermanfaat untuk minda, tubuh dan semangat anda.
Memaparkan catatan dengan label kuala linggi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kuala linggi. Papar semua catatan

Jumaat, 19 Jun 2009

Kementerian Tingkatkan Penghasilan Minyak Pati Berskala Komersil


Kementerian Tingkatkan Penghasilan Minyak Pati Berskala Komersil
ALOR GAJAH, 16 Jun (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan mempertingkatkan penghasilan minyak pati berskala komersil yang boleh dipakejkan sebagai satu entiti pelaburan untuk dieksport .

Timbalan Menterinya, Datuk Rohani Abdul Karim berkata Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menerusi pusat inkubator di Kuala Linggi di sini memberi tumpuan kepada produk minyak pati berasaskan herba.

"Permintaan kepada minyak pati yang sebagai bahan utama minyak wangi mencecah kepada lima tan metrik sebulan oleh beberapa negara Kesatuan Eropah (EU) termasuk Switzerland," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran inkubator teknologi penyulingan minyak pati dan penutup bulan teknologi pertanian di stesen Mardi Kuala Linggi di sini.

Inkubator Teknologi Minyak Pati di Kuala Linggi adalah inkubator perintis dan satu-satunya di negara ini yang telah beroperasi sejak 2006.

Pada masa ini, katanya MARDI yang telah membangunkan pusat inkubator teknologi minyak pati dan pemprosesan produk berasaskan minyak pati hanya berupaya menghasilkan 40 kilogram sehari.

"Penghasilan berskala kecil ini masih jauh untuk memenuhi permintaan sebanyak lima tan metrik sebulan," katanya.

Menurut Rohani, bagi memenuhi permintaan sebanyak lima tan metrik sebulan oleh EU, memerlukan saiz tanah seluas 300 hektar bagi pengeluaran pokok nilam yang menghasilkan minyak pati.

Beliau berkata MARDI telah melantik Syarikat Essfa Sdn Bhd sebagai inkubati bagi inkubator teknologi di Kuala Linggi dan penghasilan lima tan metrik yang diperlukan akan bergantung kepada keupayaan syarikat berkenaan memenuhi permintaan.

"Pada masa kini, penghasilan minyak pati di Kuala Linggi dihasilkan menerusi ladang di Pagoh, Muar dan sekitar Kuala Linggi pada skala kecil iaitu kira-kira 30 hektar," katanya.

Harga semasa bagi satu kilogram minyak pati yang dieksport mencecah AS$100 (kira-kira RM353).

Beliau berkata saiz pasaran minyak pati dunia bernilai AS$7.5 bilion (RM26.5 bilion) setahun dan usaha mengkomersilkan minyak pati diharap dapat mengurangkan import minyak pati yang kini mencecah RM200 juta setahun.

Katanya kementerian juga merancang untuk membina sebuah lagi inkubator teknologi minyak pati di Bintulu, Sarawak.

Antara negara di rantau ini yang merupakan negara pengeluar minyak pati ialah Indoensia, China dan India.

Yang turut hadir di majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa dan Pertanian negeri Datuk Mohamad Hidhri Abu Hassan dan Ketua Pengarah MARDI Datuk Dr Abdul Shukor Abdul Rahman.

-- BERNAMA

Sutra Essential @ sutraessential.blogspot.com

Selasa, 19 Mei 2009

INKUBATOR TEKNOLOGI PEMPROSESAN MINYAK PATI MARDI


Minyak pati ialah sejenis minyak meruap dan beraroma yang didapati daripada tumbuh-tumbuhan secara sulingan. Bahagian tumbuh-tumbuhan di mana minyak pati boleh diperolehi termasuklah bunga, buah (kulit), daun, biji, akar atau keseluruhan tumbuhan. Minyak pati biasanya digunakan di dalam industri wangian dan kosmetik terutama bagi penghasilan minyak wangi, penyegar udara, bahan cucian dan mandian, aromaterapi, minyak urut, balm dan sebagainya. Minyak pati juga berguna di dalam industri makanan sebagai bahan perisa dan bauan seperti minyak pudina di dalam gula-gula, minyak cengkih dan kayu manis di dalam minuman ringan. Selain itu, minyak pati digunakan dalam pengeluaran bahan kawalan serangga, antiseptik, anti kulat (fungal) dan pelbagai aplikasi dalam industri perubatan.

Industri herba Malaysia mempunyai potensi yang tinggi untuk berkembang dan produk berasaskan herba tempatan (tropika) mempunyai ruang pasaran luas (domestik dan ekspot). Dianggarkan saiz pasaran minyak pati dunia ialah sebanyak USD 7.5 billion. Pada masa ini negara kita banyak bergantung kepada pengimportan minyak pati untuk kegunaan tempatan. Nilai import minyak pati ke dalam Malaysia adalah sebanyak RM 200 juta setahun dan nilai permintaan tempatan untuk produk yang berasaskan minyak pati (kosmetik dan produk penjagaan diri) dianggarkan sebanyak RM500 juta setahun. Justeru itu, industri herba Malaysia berpotensi untuk berkembang dengan lebih pesat lagi jika pengeluaran minyak pati berskala komersil dapat dibangunkan. Secara keseluruhannya kegiatan ini merangkumi aktiviti pengeluaran tanaman, pengurusan lepas tuai, pengekstraktan minyak pati, pembangunan produk berasaskan minyak pati serta perawatan bahan buangan kepada silaj dan kompos.

Industri herba tempatan telah berkembang dengan pesatnya sejak kebelakangan ini tetapi tidak seimbang. Untuk membangunkan industri herba tempatan, pembangunan menyeluruh industri tersebut perlu dilaksanakan termasuk pembangunan pasaran dan penjenamaan.

Di dalam program inkubator teknologi minyak pati MARDI, beberapa teknologi telah dibangunkan. Program ini merangkumi teknologi pengeluaran tanaman, pengeringan, penyulingan, penghasilan produk-produk berasaskan minyak pati, silaj dan kompos. Tanaman-tanaman yang telah dibangunkan terdiri daripada tiga jenis herba iaitu nilam, serai makan dan serai wangi. Teknologi penanaman telah dapat menghasilkan masing-masing sebanyak 30 tan, 40 tan dan 55 tan sehektar/tahun bagi tanaman nilam, serai makan dan serai wangi. Proses pengeringan pula telah dapat dilakukan melalui pembangunan teknologi pengeringan rumah solar yang berkapasiti pengeluaran sebanyak 750 kg/sehari.

Teknologi pengekstraktan minyak pati melibatkan dua proses iaitu proses penyulingan (distillation) dan penyulingan berperingkat (fractionation). Proses penyulingan menggunakan wap tekanan tinggi yang dibangunkan berupaya menghasilkan 16,000 ml minyak pati sehari. Proses penyulingan berperingkat pula dapat menghasilkan minyak pati tulen berbilang gred.

Rangkaian operasi dalam inkubator teknologi produk berasaskan minyak pati meliputi sistem pemprosesan sabun, sistem pemprosesan produk toiletri bentuk cecair dan krim kosmetik, sistem pengisian produk cecair secara automatik dan sistem pembungkusan. Teknologi pemprosesan produk melibatkan pembangunan kilang yang menepati keperluan Good Manufacturing Practice (GMP) dengan spesifikasi susun atur mesin dan tatacara penyusunan bilik bersesuaian. Teknologi pembangunan produk (formulasi) berasaskan minyak pati ini berupaya mengeluarkan sebanyak 15,700 ml bahan aromaterapi dan 3,000 ketul sabun penjagaan diri dan ’toileteries’ sehari.

Untuk melengkapkan program inkubator teknologi minyak pati, kesemua bahan buangan dari proses ini turut dirawat menjadi silaj dan kompos untuk menambahnilaikan lagi pakej teknologi ini juga menjadikannya lebih berdaya maju dan mesra alam. Teknologi penghasilan silaj melibatkan pemeraman (fermentation) bahan buangan daripada sistem penyulingan di dalam tong kedap udara yang dicampurkan bakteria IMO (Indigenous Microbial Organism). Silaj boleh digunakan sebagai sumber serat (fiber) untuk makanan ternakan ruminan seperti lembu dan kambing. Teknologi kompos pula melibatkan pemeraman terbuka (open fermentation) bahan buangan dari penyulingan dan dicampur dengan bahan-bahan lain seperti IMO, urea dan molases. Bahan kompos yang dihasilkan amat sesuai digunakan sebagai baja organik untuk pelbagai tanaman.

Untuk mempercepatkan proses pengkomersilan teknologi ini MARDI telah membangunkan pusat inkubator teknologi minyak pati dan kilang perintis pemprosesan produk berasaskan minyak pati di Stesen MARDI Kuala Linggi, Melaka. Pusat inkubator teknologi ini telah dibangunkan sejak 2006 dan dijangka dapat melatih inkubati pertama pada penghujung tahun 2007. Jangkamasa pembangunan usahawan sebagai inkubati dalam sistem inkubator ini ialah selama 14 – 24 bulan bagi program inkubator teknologi penyulingan dan 6-12 bulan bagi penghasilan produk berasaskan minyak pati. Melalui kaedah ini sekurang-kurangnya dua syarikat inkubati dapat dibangunkan dalam setiap pusingan.

Program inkubator teknologi minyak pati ini telah dibangunkan berasaskan kepada teknologi pakej yang telah dihasilkan juga unjuran analisis kewangan. Kilang yang dibangunkan diunjur memerlukan bekalan bahan mentah (nilam, serai wangi dan serai makan) yang perlu dihasilkan dari ladang yang sekurang-kurangnya seluas 45 hektar.

Analisis kewangan pengeluaran minyak pati dan produk berasaskan minyak pati menunjukkan pelaburan ini secara teknikalnya berkebolehan (feasible) dan berdaya maju (viable) dari segi ekonomi. Berasaskan kepada saiz operasi kilang yang menghasilkan sebanyak 16,000 ml minyak pati sehari pelaburan ini dijangka dapat memberi kadar pulangan dalaman (Internal Rate of Return) sebanyak 28%, nilai kini bersih (Net Present Value) sebanyak RM4.9 juta, nisbah keuntungan kepada perbelanjaan (Benefit Cost Ratio) sebanyak 1.3 dan tempoh bayar balik modal (Payback Period) selama 4 tahun.

Untuk perancangan masa hadapan, inkubator teknologi minyak pati MARDI di Kuala Linggi akan membangunkan minyak-minyak pati berasaskan herba-herba lain seperti limau purut, sireh, kulit kayu manis, tee-tree, bunga cengkih dan bunga-bunga haruman. Pembangunan produk minyak pati akan dipertingkatkan kepada produk-produk spa khusus dan terpilih yang mempunyai potensi pasaran tempatan dan ekspot. Pembungkusan (packaging) dan penjenamaan (branding) yang sesuai akan juga dibangunkan di masa hadapan bagi meningkatkan penguasaan pasaran tempatan dan antarabangsa. Di masa hadapan, dijangkakan lebih ramai lagi usahawan dapat dibangunkan melalui sistem inkubator luar-capaian (out-reached incubator) yang boleh diwujudkan apabila teknologi ini dikembangkan ke kawasan-kawasan pertumbuhan yang lain.

Inkubator teknologi minyak pati ini merupakan pakej teknologi lengkap yang mengintegrasikan aktiviti-aktiviti huluan (up-stream), hiliran (down-stream) dan pemasaran (market). Program inkubator teknologi ini adalah berasaskan kepada teknologi-teknologi asli yang dibangunkan oleh MARDI. Pakej teknologi ini dijangka dapat membantu meningkatkan lagi pembangunan industri herba tempatan ke tahap berdaya maju dan berdaya saing.

Teknologi minyak pati ini telah dapat dipakejkan sebagai satu entiti pelaburan yang dapat memberi pulangan yang lumayan dan disyorkan kepada pengusaha-pengusaha enterprise kecil dan sederhana (EKS). Teknologi minyak pati ini dapat memperkasakan konsep aktiviti perniagaantani dari ladang ke kilang (farm to factory).


Sutra Essential @ sutraessential.blogspot.com